PROGRAM PENIAGA KECIL KKTV
Peniaga kecil Kuala Kangsar, biar KKTV bantu ceritakan kisah dan promosikan perniagaan anda.
Syarat Program
Program ini terbuka kepada peniaga kecil seperti gerai tepi jalan, penjaja, peniaga dari rumah dan perniagaan berskala kecil. Program ini tidak terbuka kepada kedai, restoran besar atau perniagaan yang berskala besar.
Buat masa ini, program ini hanya dibuka kepada peniaga kecil yang menjalankan perniagaan di sekitar Kuala Kangsar, Perak sahaja. Permohonan dari luar kawasan Kuala Kangsar belum dapat dipertimbangkan buat masa ini. Liputan program mungkin diperluaskan pada masa akan datang.
Bagi memberi peluang kepada lebih ramai peniaga kecil, program ini diutamakan kepada peniaga yang belum pernah menerima kunjungan, liputan atau video review daripada pihak KKTV. Peniaga yang pernah menerima liputan atau review KKTV sebelum ini tidak termasuk dalam pemilihan bagi program ini.
Peniaga yang terpilih tidak dikenakan bayaran oleh KKTV bagi penghasilan video promosi di bawah program ini. KKTV juga tidak meminta sebarang bayaran untuk tujuan pemilihan peserta program.
Sekiranya sesi rakaman memerlukan makanan atau produk peniaga untuk tujuan penggambaran, kos makanan atau produk tersebut adalah ditanggung oleh pihak peniaga. Walau bagaimanapun, pihak KKTV akan memastikan keperluan tersebut dibuat secara munasabah dan tidak membebankan peniaga.
Pemilihan peserta akan dibuat oleh pihak KKTV berdasarkan beberapa perkara termasuk kesesuaian perniagaan, maklumat dan gambar yang dihantar, latar belakang atau cerita perniagaan serta jawapan bagi soalan “Kenapa anda rasa perniagaan anda patut dipilih oleh KKTV?” Menghantar permohonan tidak menjamin bahawa pemohon akan terpilih.
Peniaga yang terpilih akan dihubungi sendiri oleh pihak KKTV melalui WhatsApp atau panggilan telefon untuk urusan selanjutnya termasuk penetapan tarikh dan masa rakaman.
Sekiranya pemohon tidak menerima WhatsApp atau panggilan daripada pihak KKTV, ini bermaksud permohonan belum terpilih bagi bulan tersebut. Permohonan berkenaan masih boleh dipertimbangkan oleh pihak KKTV untuk bulan berikutnya, tertakluk kepada kesesuaian dan pemilihan.
Peniaga yang terpilih perlu bersetuju untuk membenarkan pihak KKTV menjalankan rakaman di lokasi perniagaan serta menggunakan rakaman video dan gambar yang dihasilkan untuk tujuan penerbitan, promosi dan kandungan media KKTV.
Pemilihan peserta dibuat oleh pihak KKTV berdasarkan kesesuaian dengan objektif program dan maklumat yang diterima. Pihak KKTV berhak menentukan peniaga yang akan menerima liputan serta menyusun jadual rakaman mengikut kesesuaian operasi KKTV.